KOTA KINABALU: Usaha menangani perubahan iklim perlu dilaksanakan secara bersepadu dan seimbang oleh semua pihak dalam usaha memastikan kelestarian generasi kini sehingga generasi akan datang.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Joachim Gunsalam berkata, kunci untuk menyelesaikan krisis iklim adalah terletak pada pengurangan pelepasan dan transformasi masyarakat bagi menjaga kelestarian alam sekitar.
“Dunia kini sedang berhadapan dengan fasa Climate Emergency seperti banjir kilat, peningkatan dan pemanasan global serta ribut kencang yang memberi kesan secara langsung kepada kemusnahan harta benda, kemudahan awam dan kemusnahan alam.
“Selain itu perubahan suhu yang ketara juga dapat dilihat di kawasan pembangunan padat tanpa kawasan hijau yang menyumbang kepada kesan pulau haba.
“Hal ini adalah perkara yang perlu kita tangani dan perlu dilaksanakan oleh semua lapisan pemegang taruh demi melestarikan persekitaran tempat kita tinggal. Kita perlu mempunyai tanggungjawab dan kesedaran yang tinggi dalam usaha menangani, mengurangkan dan mencegah impak negatif kesan perubahan iklim yang ketara, katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Program Festival I-HIJAU KKTP: Inisiatif HIJAU KKTP, Aspirasi Sabah Maju Jaya 2023 di Pusat Konevensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu.
Ini, katanya, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Bangsa-Bangsa Bersatu antaranya dalam, Maltamat 11: Sustainable Development and Communities iaitu menyediakan kemudahan yang menyeluruh, selamat, berdaya huni dan mampan; Matlamat 13: Climate Action iaitu mengambil tindakan bagi menangani masalah perubahan iklim dan kesannya, Matlamat 15: Life On Land iaitu pemeliharaan dan pemuliharaan sumber alam semulajadi bagi menjaga kepelbagaian ekosistem dan khazanah alam.
Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, bagaimanapun matlamat-matlamat ini hanya berakhir secara lisan dan atas kertas tanpa tindakan semua pihak.
“Oleh sebab itu, polisi kerajaan menetapkan penyediaan minimum 10 peratus kawasan lapang kepada pemaju bertepatan dalam penyediaan persekitaran kondusif. Selain itu, pelaksanaan seperti Indeks Bangunan Hijau (GBI) diterapkan dalam reka bentuk binaan mengikut konsep kelestarian di mana tenaga, air, dan bahan digunakan dengan cekap,” katanya.
Beliau menekankan agar kepentingan analisis iklim dalam reka bentuk tidak hanya terhad kepada sesebuah kawasan.
“Kita perlu melihat dari aspek yang lebih menyeluruh, sebagai contoh reka bentuk Smart City yang diintegrasikan dengan sistem rangkaian pejalan kaki dan berbasikal, sistem jalan raya dan pengangkutan yang berkonsepkan HIJAU.
“Antara konsep HIJAU yang dimaksudkan adalah seperti pendigitalan lestari dan komponen HIJAU dalam penggunaan sistem lampu solar, sistem penuaian air hujan, material yang telap air (permeable paving), pemakaian 5R iaitu Refuse, Reduce, Recycle, Reuse & Recovery dan sebagainya…tidak hanya itu, pembiayaan dan pelaburan HIJAU untuk projek pembangunan mampan dan mesra iklim, termasuklah melalui kerjasama awam dan swasta, amat diperlukan.” ujarnya.
Menurutnya lagi, peranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap daerah juga amat penting bagi mewujudkan bandar dan penempatan manusia inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan.
“Perancangan di setiap daerah perlu berlandaskan kepada pendekatan infrastruktur hijau untuk mengurangkan kesan pulau haba dan mengurangkan risiko bencana yang berkaitan dengan kebakaran, kemarau, dan banjir.
“Usaha memberi pendedahan terhadap peranan dalam pembangunan lestari ke arah persekitaran hijau dan berdaya huni, serta menguar-uarkan usaha HIJAU kepada semua, hendaklah berterusan termasuklah agensi kerajaan, swasta, institusi pendidikan serta orang awam,” katanya.