
KOTA KINABALU: Mayat seorang lelaki berusia 20-an ditemui tergantung atas pokok di Pantai Outdoor Development Center (ODEC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekitar tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, TPgB Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai bantuan mengambil mayat tersebut pada jam 1.23 petang.
Susulan itu katanya, seramai tujuh anggota bomba diketuai PBK II Asama Saruddin telah dikejarkan ke lokasi sejauh 16 kilometer dan tiba pada jam 1.40 petang.
Agensi lain yang turut bersama-sama dalam operasi itu termasuklah 17 anggota PDRM dan 3 anggota pasukan perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Kawalan balai terima panggilan daripada pihak PDRM mohon bantuan mengambil mayat yang tergantung di atas pokok di kawasan lereng bukit.
“Tindakan pasukan bomba menurunkan mangsa yang tergantung menggunakan tali penyelamat dengan kaedah sistem takal (2:1).
“Mayat seterusnya diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Operasi seterusnya ditamatkan pada jam 2.55 petang.