KOTA KINABALU: Menara Kinabalu yang menjadi Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) mengalami gangguan bekalan elektrik yang dipercayai akibat cubaan mencuri kabel di kawasan berhampiran pada hujung minggu lalu.
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Ir Idris Mohd Noor berkata, beberapa premis kediaman dan komersial di kawasan berhampiran turut terjejas akibat kerosakan kabel milik syarikat utiliti itu.
Jelasnya, hasil siasatan pasukan teknikal SESB menemui kerosakan pada talian 33 kilovolt (kV) yang membekalkan elektrik ke kawasan itu akibat cubaan memotong dan mencuri kabel oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Hasil siasatan di kawasan 33kV oleh pasukan teknikal SESB mendapati terdapat kesan potongam dan terbakar pada bahagian kabel dipercayai untuk dicuri.
“Kerosakan ini menjejaskan bekalan ke beberapa kawasan di Alamesra, Likas dan Menara Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, Idris berkata, kerja pemulihan bekalan sudah dilaksanakan secara berperingkat dan SESB berjaya memulihkan sepenuhnya bekalan elektrik di semua kawasan yang mengalami gangguan pada hari yang sama.
Beliau bagaimanapun berkata, bekalan ke Menara Kinabalu masih terjejas selepas berlaku kerosakan kabel sekali lagi pada lewat malam Selasa.
“Kerosakan kedua ini dipercayai disebabkan kerja penimbusan tanah di laluan utama kabel bawah tanah.
“SESB kini menempatkan enam buah janakuasa mudah ahli di kawasan Menara Kinabalu untuk menampung keperluan bekalan elektrik ke bangunan itu,” katanya.