KOTA KINABALU: Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dipecat daripada parti.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, tiga ADUN tersebut ialah, Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk), dan Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit).
“Ada tiga ADUN dikenakan tindakan pecat, Datuk James Ratib sudah diambil tindakan, Mohd Arsad dan Jasnih juga dipecat, manakala Shahelmey digantung,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Sabah di bangunan UMNO pada Ahad.
Datuk Shahelmey Yahya kini merupakan ADUN Tanjung Keramat dan juga Ahli Parlimen Putatan yang digantung keahliannya dalam parti UMNO.
Beliau juga kini memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Menteri Kerja Raya Sabah.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai status ADUN Tanjong Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, Bung memaklumkan tiada tindakan dikenakan terhadap ADUN berkenaan.
Andi Muhammad masih berada di dalam barisan kepimpinan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan dilantik sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah.
Terdahulu, empat ADUN UMNO termasuk James, Mohd Arsad dan Jasnih telah mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Selain itu, ADUN Balung, Datuk Hamid Awang juga turut mengambil keputusan sama untuk keluar daripada UMNO.