KOTA KINABALU: Seorang pesara kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu di sini, hari ini atas tuduhan menerima suapan sebanyak RM15,000 daripada seorang lelaki pada Ogos 2014.
Bagaimanapun, tertuduh Azman Ariffin, 62 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan hakim Jason Juga.
Mengikut pertuduhan tersebut, tertuduh merupakan seorang ejen kerajaan, iaitu pegawai Staff Dua Belanjawan yang bertugas di Markas Briged Ke- Infantri Kem Lok Kawi, Sabah telah menerima rasuah wang tunai sebanyak RM15,000 daripada seorang lelaki sebagai upah untuk mengeluarkan surat tawaran kerja-kerja membersih kawasan Kem 5 Briged bagi tempoh kontrak dari 1 Jun 2014 hingga 31 Mei 2015.
Pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.
Jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Mahkamah kemudian menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM20,000 dan deposit RM2,000 dengan seorang penjamin tempatan.
Tertuduh turut dikehendaki melapor diri setiap dua bulan sekali di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat dan diarah menyerahkan passport antarabangsa kepada mahkamah.
Mahkamah memutuskan 23 Mei ini bagi pengurusan kes dan tertuduh diwakili oleh peguam Amli Nohin.