KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan sembilan individu termasuk lima pegawai penguat kuasa kerana disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin (PATI) di Sabah.
Menurut kenyataan media SPRM, lima termasuk dua pegawai wanita yang berusia antara 30 hingga 41 tahun itu ditahan kira-kira jam 2.30 petang hingga 8.40 malam, kelmarin.
“Dalam operasi khas SPRM bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dikenali sebagai ‘Op Lancar’ itu,empat suspek yang dipercayai bertindak sebagai ejen PATI dari negara jiran yang melibatkan tiga wanita tempatan berusia antara 37 hingga 48 tahun dan seorang lelaki berusia 73 tahun turut ditahan antara jam3.30 petang hingga 6 petang, kelmarin.
“Modus operandi sindiket terbabit ialah setiap PATI atau Pemastautin Sementara yang tidak mempunyai dokumen lengkap atau mempunyai sekatan akan membayar sekitar RM2,500 kepada ejen PATI tersebut jika ingin keluar dari Sabah melalui Lapangan Terbang Tawau,” katanya.
Sindiket kemudian akan membekalkan MyKad tulen dan pas masuk menaiki pesawat di atas nama pemilik asal MyKad kepada kumpulan PATI yang menggunakan khidmat mereka.
PATI dari negara jiran terbabit kemudian akan melepasi pemeriksaan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Tawau dan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) selepas bayaran rasuah dibuat kepada pegawai penguat kuasa tersebut.
SPRM turut mendapati, bagi setiap penerbangan ke KLIA2, ejen tersebut akan membawa masuk antara 5 hingga 20 orang PATI dan sindiket ini dipercayai sudah beroperasi sejak 2018.
Dalam operasi tersebut, SPRM telah merampas beberapa barangan seperti telefon bimbit, kad pengenalan Malaysia milik individu lain dan cop keluar Sabah yang lengkap dengan nombor siri.
Sementara itu, JPN dalam operasi itu juga telah menahan seramai 12 orang PATI yang didapati memasuki negara menggunakan sindiket terbabit.
Sehubungan itu, SPRM akan terus bekerjasama rapat dengan JPN dan agensi penguat kuasa lain untuk memerangi sindiket penyeludupan PATI ini.
Sumber: SPRM