SANDAKAN: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Joachim Gunsalam menggesa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) untuk segera menangani masalah sampah di Kampung Sim-Sim.
Ini selepas beliau mengadakan lawatan ke perkampungan air itu pada Selasa lali untuk melihat sendiri masalah sampah yang dihadapi oleh penduduk sejak sekian lama.
“Masalah sampah ini sudah lama dihadapi oleh penduduk di perkampungan air itu. Sampah dibawa oleh arus pergerakan laut sehingga menjadi longgokan sampah.
“Perkara ini menarik perhatian saya dan pada hari ini, saya bersama Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Henry Idol telah berbincang bersama dengan Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Datuk Jamili Nais untuk menangani isu yang sudah dihadapi sekian lama oleh penduduk perkampungan air ini,” katanya.
Pada masa sama, Joachim berkata, Sim-Sim berpotensi untuk menarik pelancong untuk datang ke sini untuk menikmati makanan laut yang segar.
“Jika masalah ini tidak dibendung, ia akan memberikan imej yang tidak menyenangkan kepada pengunjung yang datang ke restoran di sini,” tambahnya.
Sementara itu, Henry berkata, MPS akan berusaha gigih menangani masalah ini dan salah satunya ialah dengan melantik kontraktor untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.
Beliau juga memohon kerjasama penduduk setempat agar tidak membuang sampah di merata-rata tempat.