KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah tetap dengan pendirian untuk terus menuntut hak 40 peratus hasl bersih negeri Sabah seperti yang sudah termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Jelas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor kerajaan negeri juga sentiasa memastikan agar keperluan dan kepentingan rakyat Sabah sentiasa diutamakan dan diperjuangkan.
“Tular kebelakangan ini mengenai salah faham kononnya Kerajaan Negeri Sabah tidak lagi menuntut hak 40 peratus daripada hasil bersih Kerajaan Persekutuan di Sabah seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963.
“Hari ini saya telah menjelaskan perkara ini di dalam sidang DUN agar salah faham ini dapat diperjelaskan dan diperbetulkan,” katanya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Khamis.
Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata, pihaknya turut berharap agar tidak ada lagi kekeliruan dan salah faham terhadap perkara tersebut.
Dan yang paling penting, perkara itu tidak lagi diputarbelitkan kerana hanya boleh menimbulkan kekeliruan kepada rakyat.
“Sama-samalah kita berganding bahu dan bekerjasama untuk menuntut hak rakyat Sabah. Sekali saya ingin tegaskan, Kerajaan Negeri Sabah akan terus menuntut hak 40 peratus daripada hasil bersih Kerajaan Persekutuan di Sabah seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963,” tegasnya.
Sementara itu, berhubung dengan pemberian khas kepada Sabah, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri akan terus berunding untuk menjalankan kajian semula pemberian tersebut.
“Sepertimana yang kita sedia maklum, untuk 53 tahun iaitu sejak tahun 1969, Kerajaan Negeri menerima amaun pemberian khas yang statik tanpa sebarang peningkatan iaitu hanya RM26.7 juta setahun.
“Di bawah pimpinan Kerajaan GRS, susulan kepada beberapa perbincangan dan rundingan yang telah diadakan, akhirnya, pada bulan April yang lalu, buat kali pertama semenjak 1969 kita telah berjaya mencapai kata sepakat yang mana bayaran pemberian khas ditingkatkan,” jelasnya.