KOTA KINABALU: BN dan Pakatan Harapan (PH) telah berjanji untuk mencipta sejarah dengan melantik timbalan perdana menteri seorang dari Sabah dan Sarawak sekiranya mereka memenangi pilihan raya umum.
Susulan itu, Ketua Penerangan Warisan Datuk Mohd Azis Jamman berkata, tawaran tersebut adalah satu penghinaan kepada Sabah dan Sarawak kerana BN dan PN seperti cuba menggambarkan bahawa rakyat Sabah dan Sarawak tidak layak menjadi perdana menteri.
“Adakah ini bermakna wakil dari Sabah dan Sarawak tidak layak memegang jawatan perdana menteri pada masa hadapan? Adakah ini bermakna hanya orang Malaya berhak ke atas jawatan nombor satu negara itu?” soalnya.
Azis mengingatkan pengundi bahawa BN dan PH telah memungkiri janji mereka kepada Sabah sebelum ini.Tambah beliau, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada Januari 2020 semasa pilihan raya kecil Kimanis telah berjanji kepada Sabah dan Sarawak bahawa MA63 akan dilaksanakan sepenuhnya apabila BN kembali berkuasa.
Begitu juga dengan Pengerusi DAP Lim Guan Eng yang turut menjanjikan Sabah menerima lebih banyak sumber daripada kerajaan persekutuan.
“Namun janji hanya tinggal janji,” kata Azis.
Sementara itu, rakyat Sabah mahu hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditunaikan dan bukannya ‘gula-gula pilihan raya’ seperti jawatan Timbalan Perdana Menteri, tegasnya.
Jelasnya, Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal pernah menolak jawatan timbalan perdana menteri, yang didakwa ditawarkan oleh Presiden BERSATU Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden UMNO Ismail Sabri Yaakob ketika mereka menjadi perdana menteri.
“Apa yang dimahukan rakyat Sabah dan Sarawak ialah pelaksanaan sepenuhnya dengan segera dan tanpa bertangguh lagi, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah dipersetujui sekian lama antara Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu semasa pembentukan Malaysia.
“Ini kerana kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan tidak akan bertambah baik dengan mengambil kira salah laku dan amalan rasuah, salah guna kuasa dan kronisme yang berleluasa di negara ini,” kata Azis.