Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesan penerbangan mencurigakan 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM), Kota Kinabalu FIR dan menghampiri ruang udara nasional pada Isnin lalu (31 Mei).
Panglima Tentera Udara (PTU) Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata, penerbangan pesawat PLAAF itu dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi.
Menurutnya, pesawat itu dikesan terbang secara formasi taktikal ‘in-trail’ pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain.
“Formasi panjang itu juga terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar.
“Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara,” katanya dalam kenyataan semalam.
Ackbal berkata, pesawat itu dikesan terbang pada ketinggian di antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapore FIR sebelum memasuki ruang udara ZMM, Kota Kinabalu FIR.
Pesawat itu seterusnya terbang menghala menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara.
“Pihak TUDM meletakkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan di dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM.
“Pemantauan menerusi radar pertahanan udara diteruskan ke atas pesawat itu di samping beberapa percubaan untuk mengarahkan mereka menghubungi kawalan trafik udara KK FIR,” katanya.
Beliau berkata, apabila arahan tidak dipatuhi dan didapati melangkaui persempadanan Kota Kinabalu FIR menghala ke ruang udara nasional, TUDM melancarkan pesawat pemintas pada jam 1.33 tengah hari untuk melakukan identifikasi visual.
“Hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, TUDM mengenalpasti pesawat itu adalah daripada jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20.
“Pesawat jenis ini adalah pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi,” katanya.
Menurut Ackbal, insiden ini adalah perkara yang serius terhadap ancaman kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan berdasarkan kepadatan trafik udara di dalam laluan penerbangan (Airways) di dalam KK FIR.
“Insiden ini dikendalikan oleh TUDM khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya berlandaskan undang-undang dan peraturan penerbangan antarabangsa Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) serta Strategi Pertahanan Udara Nasional (SPUN).
“Kementerian Luar Negeri sudah mengambil maklum mengenai perkara ini melalui Kementerian Pertahanan,” katanya.
Sumber: TUDM