KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan bahawa murid sekolah tidak diwajibkan memakai tali leher mulai sesi persekolahan tahun hadapan.
Pemakluman itu dinyatakan dalam satu surat siaran bertarikh 17 Disember, susulan keputusan yang dicapai dalam Mesyuarat Profesional KPM Khas 2025 yang berlangsung pada 8 Disember lalu.
Surat siaran berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad.
Bagaimanapun, KPM memaklumkan bahawa pemakaian tali leher masih dibenarkan sekiranya dipersetujui melalui permuafakatan antara pihak sekolah dan ibu bapa.
Sehubungan itu, KPM menegaskan bahawa tiada pihak dibenarkan membuat sebarang paksaan atau tekanan terhadap murid berkaitan pemakaian tali leher.
Menurut surat tersebut, KPM sentiasa prihatin terhadap keperluan ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak sebelum bermulanya sesi persekolahan baharu.
“Bagi memudahkan ibu bapa dalam memenuhi keperluan tersebut, dasar ini diputuskan hasil penelitian terhadap keperluan semasa murid berdasarkan beberapa faktor,” menurut kenyataan itu.
Antara faktor yang diambil kira ialah realiti iklim tempatan yang panas dan lembap, yang menyebabkan pemakaian tali leher setiap hari kurang sesuai serta boleh menjejaskan keselesaan murid, selain keprihatinan KPM dalam usaha mengurangkan beban kewangan isi rumah.
Surat siaran berkenaan turut dimuat naik di laman web rasmi KPM.
