Ranau: Parti Solidariti Tanahairku (STAR) Bahagian Kuamut mengambil pendirian politik yang berbeza dengan pucuk pimpinan parti apabila mengumumkan untuk kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17), meskipun Presidennya, Datuk Seri Dr. Jeffery Kitingan telah menarik diri daripada gabungan dan memilih untuk bertanding secara solo.
Ketua STAR Kuamut, Mandik Yadam berkata, keputusan itu dicapai secara sebulat suara dalam mesyuarat bahagian yang diadakan pada Sabtu lalu, susulan pengumuman mengejut Presiden parti untuk meninggalkan GRS menjelang PRN-17.
“Semua ahli jawatankuasa STAR Kuamut telah bersetuju untuk kekal dalam GRS dan memberikan sokongan penuh kepada calon gabungan ini di kawasan Kuamut. Kami menghormati pendirian Jeffery sebagai Presiden, namun dalam kempen kali ini kami memilih untuk bersama GRS Kuamut pimpinan Datuk Masiung Banah,” tegasnya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa GRS Bahagian Kuamut di sini, semalam.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh semua parti komponen GRS Kuamut termasuk Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS), Masum Takin, dan wakil Usno, James Aik. Ia dipengerusikan oleh Datuk Masiung Banah, yang juga Pengerusi GRS Kuamut dan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Mandik yang juga Timbalan Pengerusi GRS Kuamut berkata, keputusan STAR itu turut melibatkan ketetapan untuk tidak meletakkan calon pada PRN-17 di Kuamut. Tindakan itu diambil bagi memastikan kemenangan besar GRS di kawasan berkenaan serta mengekalkan kestabilan politik yang telah dibina sejak hampir lima tahun lalu.
“Kerjasama politik dalam GRS harus dikekalkan kerana Masiung selaku wakil rakyat Kuamut dilihat sebagai kunci utama perancang pembangunan daerah Tongod. Kami telah membina kestabilan politik tanpa sebarang perpecahan, maka tidak wajar kami mengkhianati perjuangan yang belum selesai,” ujarnya lagi.
Langkah STAR Kuamut ini dilihat sebagai perkembangan penting dalam landskap politik PRN-17.
Pemerhati politik berpendapat tindakan drastik Jeffery untuk keluar daripada GRS dan bertanding secara solo mungkin memberi kesan besar terhadap parti pimpinannya, terutama apabila bahagian-bahagian seperti Kuamut secara terbuka mengambil haluan berbeza demi mengekalkan kerjasama dengan GRS di peringkat akar umbi.
