KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, memasuki hari kelima dengan tumpuan apabila saksi kelima, Inspektor Maidon Bernadus, hadir ke Mahkamah Koroner bersama sebuah patung yang digunakan dalam simulasi kejadian jatuh pada 3 Ogos lalu.
Maidon, pegawai Bahagian Siasatan Jenayah (D10) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, tiba pada jam 8.20 pagi bersama seorang pegawai yang membawa patung berkenaan, seperti diminta oleh peguam bela Datuk Ram Singh semalam.
Peguam itu mahu meneliti keadaan patung selepas ia digunakan dalam ujian simulasi.Dalam keterangannya, Maidon menjelaskan simulasi dijalankan dengan menjatuhkan patung seberat arwah dari tingkat tiga asrama sekolah di Kinarut, Papar, lokasi Zara ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu.
Dua ujian dilakukan termasuk jatuhan tegak tanpa tolakan – patung jatuh pada jarak 2.14 meter dari dinding bangunan dan jatuhan dengan tolakan minima – patung mendarat pada jarak 3.45 meter.
Menurut Maidon, hasil simulasi pertama lebih hampir dengan kedudukan Zara ditemui.
Semalam, dua doktor dari Hospital Queen Elizabeth turut memberi keterangan termasuk Dr Janefer Voo (Jabatan Kecemasan & Trauma) dan Dr Pavankumar Balachandran (Jabatan Bedah Saraf).
Kedua-duanya memperincikan keadaan kritikal Zara yang tiba pada jam 4.38 pagi, 16 Julai, dengan kecederaan otak traumatik yang akhirnya meragut nyawanya pada 17 Julai 2025.
Inkues hari ini dijangka selesai tengah hari bagi memberi ruang kepada mahkamah membuat persiapan lawatan tapak ke lokasi kejadian esok.
