Kota Kinabalu: Sabah bukan batu loncatan politik Perikatan Nasional (PN) untuk merebut kuasa di Putrajaya, tegas Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, yang membidas kenyataan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee, baru-baru ini.
Datuk Nizam menyifatkan tuduhan Ronald bahawa kerajaan negeri kononnya menghidap “penyakit lima serangkai” sebagai retorik politik kosong yang tidak menawarkan sebarang penyelesaian kepada rakyat.
“Kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Datuk Seri Hajiji Noor telah melaksanakan pelan nyata melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan pembangunan infrastruktur asas, peluang pekerjaan dan peningkatan hasil negeri. Cabaran yang ada adalah legasi berpuluh tahun dan tidak akan selesai dengan hanya retorik,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau turut menegaskan, retorik “angkat senjata politik” yang dilaungkan Bersatu mencerminkan budaya politik konfrontasi. Malah, pengakuan Ronald di Perhimpunan Agung Bersatu bahawa kemenangan di Sabah hanyalah permulaan jalan kemenangan PN di Semenanjung membuktikan negeri ini hanya digunakan sebagai batu loncatan kuasa.
Datuk Nizam mengingatkan, Presiden Bersatu ketika menjadi Perdana Menteri tidak memberi perhatian sewajarnya kepada isu besar rakyat Sabah termasuk MA63, kemudahan asas dan peluang pekerjaan.
“Selepas hilang kuasa, mereka kembali dengan retorik dan janji baharu, sedangkan peluang terdahulu sudah disia-siakan,” ujarnya.
Beliau menambah, PN sendiri berdepan perpecahan dalaman termasuk teguran terbuka daripada PAS, malah penganalisis politik menyebut gabungan itu masih “mencari pusat graviti.”
“Bagaimana mahu menjanjikan kestabilan untuk Sabah sedangkan dalam PN sendiri wujud keretakan yang jelas?” soalnya.
Menurut Nizam lagi, kerajaan negeri Sabah kini mendapat sokongan penuh daripada Kerajaan Persekutuan melalui peruntukan pembangunan, projek infrastruktur dan komitmen pelaksanaan MA63.
“GRS menolak politik ugutan dan dendam. Sabah tidak akan dijadikan alat percubaan kuasa. Rakyat cukup matang untuk menilai siapa benar-benar bekerja untuk mereka dan siapa hanya mahu menggunakan Sabah sebagai batu loncatan,” katanya.
