KOTA KINABALU: Gwen Mia yang dilaporkan hilang sejak Ahad, akhirnya ditemui dalam keadaan selamat selepas 33 jam operasi pencarian, sekali gus mengakhiri kebimbangan ahli keluarga serta masyarakat yang mengikuti perkembangan kes itu.
Perkembangan tersebut dimaklumkan oleh ahli keluarga mangsa, Jaime Crystal, menerusi satu hantaran di Facebook pada sebentar tadi.
Menurut Jaime, keluarga menerima berita mengenai keberadaan Gwen Mia kira-kira jam 3 petang sebelum bergegas ke balai polis dan sempat bertemu dengannya.
“Segala puji bagi Tuhan, Mia telah ditemui dalam keadaan selamat.
“Dia masih sedikit keliru, namun berada dalam keadaan selamat, dan itulah yang paling penting,” katanya.
Jaime berkata, berita kehilangan Gwen Mia yang tular dalam tempoh kurang sejam selepas dikongsikan telah menggerakkan pelbagai pihak untuk membantu usaha pencarian sehingga membawa kepada penemuannya.
Beliau berkata, keluarga amat terharu dengan sokongan dan bantuan yang diberikan oleh orang ramai, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pengetua SM Lok Yuk, guru-guru, ibu bapa, pelajar, kelab, persatuan, gereja, rakan-rakan serta individu yang tampil berkongsi maklumat dan mendoakan keselamatan Gwen Mia.
“Kami memohon maaf kerana tidak dapat menyebut nama setiap seorang secara peribadi kerana jumlah mereka terlalu ramai. Setiap perkongsian, doa dan keprihatinan anda semua telah membantu membawa Mia kembali kepada kami,” katanya.
Dalam pada itu, Jaime turut merakamkan penghargaan kepada petugas media yang menghubungi keluarga bagi mendapatkan kebenaran sebelum menyiarkan berita kehilangan Gwen Mia.
“Profesionalisme dan rasa hormat yang ditunjukkan amat kami hargai.
“Pengalaman ini membuka mata kami terhadap begitu banyak kebaikan yang masih wujud dalam masyarakat. Dari lubuk hati kami yang paling dalam, terima kasih atas setiap doa, setiap perkongsian dan setiap usaha yang dilakukan demi Mia,” katanya.
