RANAU: Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Dua menerima sumbangan sebanyak RM10,000 menerusi peruntukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan bagi menyokong pembangunan sekolah, khususnya dalam memperkukuh aspek kurikulum, kokurikulum serta penglibatan aktif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sumbangan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa sektor pendidikan, terutama di kawasan luar bandar.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan menegaskan bahawa usaha meningkatkan kualiti pendidikan akan terus diberi keutamaan bagi melahirkan generasi muda yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
Sumbangan tersebut disampaikan melalui wakilnya, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Johari Suhaimin dalam Majlis Mesyuarat Agung Tahunan PIBG Sesi 2026 dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri PIBG sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Menurut Johari, pelaburan dalam sektor pendidikan merupakan asas penting kepada pembangunan negeri kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada individu, malah turut menyumbang kepada kemajuan ekonomi dan sosial masyarakat secara keseluruhan.
“Kerajaan negeri akan terus memberi perhatian dan sokongan kepada sekolah-sekolah, khususnya di kawasan luar bandar bagi memastikan tiada yang tercicir daripada arus pembangunan pendidikan,” katanya.
Sementara itu, pihak sekolah berharap sumbangan berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan pelajar meliputi akademik, sukan, kepimpinan serta pembentukan sahsiah diri.
Guru Besar SK Pekan Dua, Saloma Eukun merakamkan penghargaan atas keprihatinan kerajaan negeri, sambil menyifatkan bantuan tersebut sebagai pemangkin semangat kepada warga pendidik dan pelajar untuk terus mencapai kecemerlangan.
