KOTA KINABALU: Hospital Queen Elizabeth (HQE) terus beroperasi di bawah tekanan permintaan yang tinggi dengan trend beban kerja yang semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KWKKR), Datuk Julita Majungki berkata, keadaan itu mencerminkan cabaran struktur dalam sistem kesihatan negeri yang memerlukan perhatian serius serta perancangan jangka panjang.
Beliau berkata demikian susulan lawatan ke HQE hari ini, yang turut melibatkan sesi taklimat bersama pengurusan hospital mengenai situasi semasa operasi dan keperluan kritikal fasiliti kesihatan berkenaan.
“Banyak cabaran yang dihadapi bersifat struktur dan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh singkat. Tiada penyelesaian segera, namun apa yang penting ialah memastikan isu-isu kritikal ini dikomunikasikan dengan lebih berkesan dan diberi keutamaan,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri akan mempergiat usaha bagi memastikan keperluan kesihatan di Sabah dapat disampaikan secara jelas kepada Kerajaan Persekutuan melalui libat urus yang lebih tegas dan berfokus.
“Walaupun sistem kesihatan berada di bawah bidang kuasa Persekutuan, kita tetap bertanggungjawab memastikan keperluan Sabah diberi perhatian sewajarnya,” katanya.
Dalam taklimat tersebut, pihak pengurusan HQE memaklumkan peningkatan jumlah pesakit yang memberi tekanan kepada kapasiti sedia ada, selari dengan trend keseluruhan sistem kesihatan negeri.
Antara isu utama yang dibangkitkan termasuk keperluan memperkukuh kapasiti hospital, menaik taraf fasiliti dan peralatan, serta meningkatkan kecekapan operasi bagi menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan yang lebih berkesan.
Beberapa cadangan turut diketengahkan, termasuk peluasan infrastruktur serta penambahbaikan aliran pesakit dan perkhidmatan sokongan bagi mengurangkan kesesakan dan mengoptimumkan penggunaan sumber.
Julita turut mengiktiraf komitmen tinggi petugas kesihatan yang berdepan beban kerja berat dalam memastikan perkhidmatan kepada rakyat terus berjalan lancar.
“Saya dapat melihat sendiri beban kerja yang sangat tinggi. Pengorbanan doktor, jururawat dan seluruh petugas kesihatan ini amat besar dan tidak ternilai,” katanya.
Beliau menambah, kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memastikan keperluan kesihatan Sabah terus diperjuangkan di peringkat nasional.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Dr. Joachim Gunsalam, Pengarah HQE Datuk Dr Abd Kahar Abd Asis, Pembantu Menteri KWKKR Datuk Rina Jainal serta Setiausaha Tetap Datuk Maria Chong.
