KOTA BELUD: Seorang lelaki berusia 33 tahun dilaporkan masih hilang selepas dipercayai lemas ketika mandi-manda di sungai di Kampung Purak Ogis Supuan, di sini, petang tadi.
Mangsa dikenali sebagai Fernandez Anak Sawing @ Andin dilaporkan hilang sekitar jam 5.12 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud dikejarkan ke lokasi.
Pemangku Ketua Balai BBP Kota Belud, PPgB Elgie Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Setibanya di lokasi pada jam 5.42 petang, pasukan operasi segera mendapatkan maklumat awal dan menjalankan operasi pencarian di sekitar kawasan persisiran sungai.
“Sehingga kini, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Operasi tersebut diketuai oleh Komander Operasi, PBK I Sufian Aban bersama sembilan anggota dari BBP Kota Belud dengan bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan utiliti jenis Vigo.
Jarak lokasi kejadian dari balai bomba dianggarkan kira-kira 25 kilometer.
Setakat ini, tiada agensi lain terlibat dalam operasi berkenaan dan usaha pencarian masih giat dijalankan.
Pihak bomba memaklumkan sebarang perkembangan terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
