TENOM: Jabatan Kerja Raya (JKR) digesa mempercepatkan pelaksanaan projek pembinaan jalan raya Tenom–Pangi bagi memastikan akses pengangkutan yang lebih selamat kepada penduduk di kawasan pedalaman itu.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar, berkata projek berkenaan perlu disegerakan memandangkan penduduk di kawasan tersebut masih bergantung kepada perkhidmatan kereta api sebagai pengangkutan utama.
Beliau berkata projek jalan raya itu telah diluluskan oleh Ketua Menteri pada awal 2025 dan difahamkan kontraktor juga telah dilantik.
“Saya juga memohon pihak JKR untuk segera memulakan projek jalan raya Tenom–Pangi yang mana telah pun diluluskan oleh Ketua Menteri pada awal tahun 2025 lalu dan difahamkan kontraktor juga sudah dilantik,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurut Jamawi, pelaksanaan projek berkenaan amat penting bagi menyediakan alternatif pengangkutan darat yang lebih selamat dan selesa, selain mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada perkhidmatan kereta api di laluan yang dianggap berisiko.
Gesaan itu disuarakan susulan insiden sebuah kereta api yang membawa guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pangi dilaporkan mengalami masalah brek tidak berfungsi dalam kejadian yang berlaku pada pagi Selasa.
Jamawi berkata beliau menerima maklumat mengenai kejadian tersebut sejurus selepas ia berlaku.
“Saya mendapat maklumat berlakunya kejadian masalah brek tidak berfungsi kepada kereta api yang membawa guru-guru SK Pangi, Tenom pada pagi tadi,” katanya.
Menurut beliau, tindakan pantas beberapa penduduk kampung yang meletakkan troli motosikal di atas landasan berjaya memperlahankan dan seterusnya menghentikan pergerakan kereta api berkenaan.
“Tindakan pantas beberapa penduduk kampung yang meletakkan troli motosikal di landasan berjaya menghentikan kereta api tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan semua guru yang berada di dalam kereta api tersebut selamat.
Sehubungan itu, Jamawi turut memohon Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta mengambil langkah pencegahan agar insiden sama tidak berulang.
“Saya memohon dan mengharapkan Jabatan Keretapi Negeri Sabah mengadakan siasatan penuh akan perkara ini dan mengambil langkah segera supaya kejadian seumpama ini tidak berulang lagi,” tegasnya.
Beliau turut menekankan bahawa aspek keselamatan penumpang, khususnya guru-guru dan penduduk yang menggunakan perkhidmatan kereta api sebagai pengangkutan utama ke kawasan pedalaman seperti Pangi, perlu diberi perhatian serius.
