KUALA LUMPUR: Sebanyak 23 pakej kerja projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di Sabah dikenal pasti lewat daripada jadual asal, menyebabkan dua kontraktor dikenakan penalti ganti rugi tertentu dan ditetapkan (LAD) berjumlah RM31.8 juta.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Ahmad Maslan berkata, kelewatan pelaksanaan projek infrastruktur mega itu dipengaruhi beberapa faktor termasuk keadaan cuaca tidak menentu, cabaran pengambilan balik tanah, isu pengalihan utiliti serta prestasi kontraktor di tapak projek.
“Kelewatan itu dipengaruhi beberapa faktor utama, termasuk keadaan cuaca tidak menentu, cabaran pengambilan balik tanah, isu pengalihan utiliti serta prestasi kontraktor di tapak.
“Kementerian memahami isu ini menjadi kebimbangan berhubung kesan kelewatan projek terhadap mobiliti rakyat, kos logistik dan pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Edward Linggu Bukut pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara semalam mengenai jumlah pakej projek LPB Sabah yang lewat siap serta nilai penalti LAD yang dikenakan kepada kontraktor.
Mengulas perkembangan semasa projek tersebut, Ahmad berkata Fasa 1A yang melibatkan 16 pakej kerja telah mencapai kemajuan 86.6 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2027.
Sementara itu, Fasa 1B yang merangkumi 19 pakej kerja kini berada pada tahap kemajuan 13.56 peratus dan disasarkan siap pada suku keempat 2028.
Menurut beliau, kerja-kerja di jajaran Fasa 1B baru dimulakan secara intensif selepas isu pengambilan balik tanah berjaya diselesaikan melalui kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Bagi mengurangkan gangguan kepada pengguna jalan raya sepanjang tempoh pembinaan, katanya kementerian turut melaksanakan penyelenggaraan rutin secara lebih agresif termasuk pembaikan jalan rosak serta mewajibkan kontraktor menyediakan pelan pengurusan trafik yang lebih berkesan.
Tambahnya, jajaran yang telah siap juga akan dibuka lebih awal sebagai laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan tanpa perlu menunggu keseluruhan fasa projek disiapkan.
Mengenai Fasa 2 jajaran Tamparuli–Ranau sepanjang 98 kilometer, Ahmad berkata projek tersebut masih berada di peringkat perancangan dan pelaksanaannya bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan memandangkan lebuh raya berkenaan tidak melibatkan kutipan tol.
