KENINGAU: Aktiviti lumba lari haram berunsur judi yang disertai remaja dan belia digempur dalam Ops Bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, dengan seramai 130 individu diperiksa dan beberapa daripadanya dikesan positif dadah.
Operasi yang dijalankan pada Sabtu (28 Februari) bermula jam 11.30 malam hingga 3.00 pagi itu dilaksanakan susulan maklumat awam mengenai penganjuran aktiviti lumba liar di kawasan Bandar Baru Bataras tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Keningau, Supt Yampil Anak Garai berkata, hasil pemeriksaan mendapati aktiviti berkenaan bukan sahaja dijalankan di atas jalan raya awam tanpa kelulusan, malah melibatkan unsur pertaruhan wang.
“Polis sentiasa menyokong penganjuran program sukan yang sah, terancang dan mendapat kelulusan pihak berkuasa. Namun dalam kes ini, aktiviti dijalankan di atas jalan raya awam tanpa kebenaran serta melibatkan unsur pertaruhan wang dan penyalahgunaan bahan terlarang,” katanya dalam kenyataan media di sini pada Ahad.
Menurut beliau, operasi bersepadu itu membabitkan Bahagian Siasatan Jenayah, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik serta Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati terdapat individu positif dadah jenis methamphetamine. Kes disiasat di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Selain itu, sebanyak 105 kenderaan turut diperiksa dan Bahagian Trafik mengeluarkan 25 saman atas pelbagai kesalahan.
Supt Yampil menegaskan tindakan penguatkuasaan diambil berasaskan maklumat dan bukti semasa operasi, selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
Beliau berkata, jalan raya awam merupakan kemudahan untuk semua pengguna dan sebarang aktiviti yang mengganggu aliran trafik atau mendedahkan orang ramai kepada risiko keselamatan adalah satu pelanggaran undang-undang.
“Operasi ini bertujuan mencegah risiko kemalangan, penyalahgunaan dadah serta pembudayaan aktiviti tidak sihat dalam kalangan remaja,” ujarnya.
IPD Keningau komited melaksanakan tugas secara profesional, berhemah dan tanpa pilih kasih demi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara.
