TEHRAN, – Sekurang-kurangnya 51 orang dilaporkan terbunuh selepas satu serangan udara Israel mengenai sebuah sekolah rendah perempuan di Minab, wilayah Hormozgan, selatan Iran, menurut laporan media rasmi negara itu.
Agensi berita Mehr turut melaporkan bahawa sekurang-kurangnya dua pelajar terbunuh dalam satu lagi serangan Israel yang mengenai sebuah sekolah di timur ibu negara, Tehran.
Perkembangan itu sekali gus menonjolkan kesan terhadap orang awam susulan kempen pengeboman besar-besaran yang dilancarkan Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran.
Wartawan Al Jazeera yang melaporkan dari Tehran, Mohammed Vall, berkata jumlah kematian akibat serangan ke atas sekolah perempuan berkenaan kini dilaporkan melebihi 40 orang.
“Ini adalah sasaran awam, dan ia boleh menimbulkan persoalan besar terhadap kempen Amerika Syarikat dan Israel yang sebelum ini menyatakan bahawa mereka hanya menyasarkan kemudahan ketenteraan serta mahu menghukum rejim, bukan rakyat Iran,” katanya.
Beliau menambah bahawa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sebelum ini memberi jaminan bahawa bantuan akan disalurkan kepada rakyat Iran, namun insiden korban awam berpotensi dijadikan oleh kerajaan Iran sebagai bukti pelanggaran undang-undang antarabangsa dan tindakan pencerobohan terhadap rakyat negara itu.
Menurut Kementerian Kesihatan dan Pendidikan Perubatan Iran, ribuan orang awam terbunuh atau cedera, manakala infrastruktur awam turut mengalami kerosakan sepanjang konflik selama 12 hari antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran pada Jun 2025.
Situasi keselamatan di rantau Asia Barat terus tegang susulan perkembangan terbaharu itu.
Sumber: ALJAZEERA
