PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun berjaya ditahan polis kurang 48 jam selepas disyaki terlibat dalam kejadian samun bersenjata di sebuah premis 24 jam di daerah ini pada 25 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Newton berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.57 pagi apabila suspek dipercayai bersenjatakan sebilah pisau bertindak merompak wang tunai berjumlah RM300 sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Penampang berjaya menahan suspek di sebuah hotel di daerah Putatan pada 26 Februari 2026,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurut beliau, polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai digunakan semasa kejadian termasuk sebuah helmet, pakaian, sebilah pisau dan sebuah motosikal.
Hasil semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai enam rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah serta penyalahgunaan dadah. Siasatan lanjut juga mendapati suspek dipercayai terlibat dalam beberapa kes samun lain yang dilaporkan sebelum ini di sekitar daerah berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Supt. Sammy turut menyeru orang ramai supaya menjadi mata dan telinga pihak polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah bagi membantu usaha membanteras jenayah serta mengekalkan keselamatan komuniti.
