KOTA KINABALU: Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Azrul Ibrahim menegaskan bahawa tuntutan Sabah dan Sarawak berkaitan hak kewangan serta hasil negeri bukanlah sesuatu yang baharu atau berlebihan, sebaliknya merupakan hak yang sewajarnya diperoleh selaras dengan semangat pembentukan Persekutuan.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini, beliau berkata kebimbangan segelintir pihak bahawa tuntutan berkenaan boleh memberi kesan kepada kedudukan fiskal Kerajaan Persekutuan wajar dihormati. Namun, tegasnya, perbahasan tersebut perlu dilihat dalam kerangka yang adil dan berprinsip.
“Secara matematik, sebarang pelarasan yang memihak kepada hak negeri mungkin memberi implikasi kepada hasil Persekutuan. Namun persoalan asasnya ialah sama ada pertimbangan fiskal harus terus dijadikan alasan untuk menangguhkan hak yang telah sekian lama tertangguh,” katanya.
Azrul menjelaskan isu yang dibangkitkan melibatkan hak Sabah terhadap pemberian khas Persekutuan serta pendirian Sarawak berhubung kesahihan dan keberterusan undang-undang berkaitan petroleum.
Beliau turut mengakui bahawa meskipun Kerajaan Persekutuan telah menunjukkan komitmen berterusan dalam menangani isu pembangunan, realitinya jurang pembangunan antara Sabah dan Sarawak berbanding negeri-negeri di Semenanjung masih ketara selepas lebih lima dekad.
Menurutnya, Sabah khususnya masih berdepan cabaran asas termasuk bekalan air bersih, elektrik, jaringan jalan raya dan capaian internet, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman. Malah, terdapat kampung yang masih tidak dapat diakses melalui jalan darat, selain peruntukan penyelenggaraan jalan Persekutuan yang disifatkan tidak mencukupi berbanding keperluan sebenar.
“Ini bukan soal retorik politik, tetapi soal tanggungjawab terhadap rakyat yang masih berdepan kekurangan asas dalam kehidupan seharian,” katanya.
Azrul menegaskan pembangunan Sabah dan Sarawak tidak seharusnya dilihat sebagai beban fiskal, sebaliknya sebagai pelaburan strategik yang mampu memperkukuh ekonomi negara secara keseluruhan.
Beliau percaya kerajaan negeri Sabah dan Sarawak tidak pernah berniat melemahkan kedudukan kewangan Persekutuan, malah yakin formula yang lebih adil dan pragmatik boleh dirangka melalui rundingan matang serta semangat federalisme yang tulen.
“Kita tidak meminta lebih daripada yang sewajarnya. Kita hanya menuntut hak yang telah lama menjadi asas kepada penyertaan kita dalam Persekutuan,” tegasnya.
