SEMPORNA: Seorang kru dilaporkan hilang manakala empat yang lain cedera selepas dua bot penumpang bertembung kira-kira 0.3 batu nautika di timur Jeti Pelancong Semporna, awal pagi Khamis, 9 Januari 2026.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu melalui talian 999 kira-kira jam 11.30 pagi.
Menurutnya, hasil maklumat awal mendapati bot pertama yang membawa lima kru mengalami kerosakan teruk akibat perlanggaran tersebut.
“Empat mangsa termasuk juragan bot dilaporkan cedera dan telah dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, seorang lagi kru bot berkenaan, Rosman bin Kandau, 24, disahkan hilang di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, bot kedua yang terlibat pula membawa dua kru dan kesemuanya dilaporkan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Susulan laporan itu, operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) telah diaktifkan pada jam 1.50 petang bagi mengesan mangsa yang masih hilang. Pihak berkuasa maritim kini giat menjalankan pencarian di sekitar kawasan kejadian.
