KOTA KINABALU: Semua pemain industri unggas di Sabah dinasihatkan mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan, termasuk berkaitan status halal, penentuan harga serta keperluan import, bagi memastikan kestabilan bekalan dan keyakinan pengguna terus terpelihara.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata demikian ketika mempengerusikan Sesi Libat Urus Industri Unggas yang dihadiri 73 peserta terdiri daripada penternak ayam tempatan, pengimport ayam dan pengilang makanan haiwan di Wisma Pertanian, di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata kementeriannya memahami keperluan mengimport bahagian ayam tertentu seperti sayap, paha dan dada bagi memenuhi permintaan pasaran serta keperluan industri makanan, namun penekanan terhadap pematuhan peraturan tetap menjadi keutamaan.
“Kementerian akan terus memastikan penternak tempatan diberi keutamaan dan sokongan bagi menjamin bekalan daging ayam dan telur ayam di negeri ini kekal stabil,” katanya.
Jamawi turut memaklumkan persetujuan kementerian menubuhkan jawatankuasa perundingan melibatkan penternak, pengimport dan pengilang makanan haiwan bagi memudahkan rundingan secara menang-menang dalam menyelaras isu bekalan dan harga.
Beliau berkata kementerian juga akan mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya tiga kali sebulan bagi memastikan pengeluaran tempatan lebih stabil serta mencapai sasaran tahap sara diri (SSL) 100 peratus.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengimport Makanan dan Daging Beku Sabah, Lim Young Peing, menyifatkan sesi libat urus berkenaan sebagai yang julung kali diadakan dan merakamkan penghargaan kepada kementerian kerana menghimpunkan semua pemain industri untuk berdialog secara terbuka.
