KOTA BELUD: Misteri kehilangan seorang warga emas di Kampung Tambulion Laut di sini berakhir dengan tragedi apabila mangsa ditemui meninggal dunia pada hari keenam operasi mencari dan menyelamat (SAR), pagi Ahad.
Mangsa, Minun Kasim, 83, ditemui kira-kira jam 10 pagi di Sektor 2, kawasan pertanian Tumpul Tambulion Luminodip, pada jarak kira-kira 1.7 kilometer dari Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, PPgB Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kehilangan mangsa pada 16 Disember lalu, kira-kira jam 7.30 pagi melalui talian balai.
“Menurut maklumat pengadu, mangsa kali terakhir dilihat berada di kawasan kampung pada 15 Disember sekitar jam 5.30 petang sebelum disedari hilang,” katanya.
Operasi SAR hari keenam dimulakan jam 9.20 pagi dengan pembahagian tiga sektor pencarian membabitkan kawasan tepi Sungai Wariu, kawasan pertanian serta Sungai Kuala Abai dan persisiran pantai.
Beliau berkata, mangsa ditemui oleh pasukan Bomba bersama agensi penyelamat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA serta penduduk kampung.
Bagaimanapun, usaha membawa keluar mangsa berdepan kesukaran berikutan paras air sungai yang dalam dan berarus deras.
“Pasukan penyelamat terpaksa menggunakan laluan alternatif melalui kebun sawit dengan bantuan kenderaan utiliti Vigo Bomba sebelum mangsa berjaya dikeluarkan dari kawasan paya,” katanya.
Mangsa kemudian dibawa ke jalan raya utama dan diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan lanjut.
Operasi SAR yang melibatkan 12 anggota bomba, Unit K9, Unit Dron serta sokongan pelbagai agensi dan orang awam ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.40 tengah hari selepas dipastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
Kejadian ini meninggalkan kesan mendalam kepada penduduk kampung yang turut berganding bahu sepanjang operasi, sekali gus menjadi peringatan terhadap risiko keselamatan warga emas, khususnya di kawasan kampung dan berhampiran sungai.
