KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan penemuan seorang bayi lelaki di kawasan Taman Awam Teluk Likas, di sini, pada pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu kira-kira jam 6.30 pagi hasil panggilan telefon daripada orang awam.
“Hasil siasatan awal mendapati bayi berkenaan dipercayai baru dilahirkan beberapa jam sebelum ditemui. Bayi itu dijumpai dalam keadaan masih bernyawa, selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, pihak polis segera menghubungi Hospital Likas dan bayi berkenaan telah dibawa ke hospital terbabit untuk mendapatkan rawatan serta pemeriksaan lanjut.
Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tiada saksi mata yang melihat kejadian berkenaan dan tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan individu yang bertanggungjawab sedang giat dijalankan. Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Sarjan MS Rosmah binti PG Hasim di talian 011-31677612.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menghormati privasi semua pihak yang terlibat.
