Kota Kinabalu: Ketua warden asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Azhari Abd Sagap, menegaskan bahawa tuduhan netizen yang mengaitkan seorang pelajar, Melur, sebagai “Kak M” dalam kes kematian Zara Qairina adalah tidak benar dan kejam.
Menurut Azhari, beliau sendiri yang menyerahkan maklumat kepada pihak polis mengenai identiti sebenar individu yang dikaitkan dengan audio tular tersebut.
“Saya yang bagi tahu polis siapa kak M ni, saya kena tegaskan disini, kak M itu bukan Melur. Kenapa dia yang dikecam, kenapa dia punya muka yang diviralkan. Melur ni budak baik,” katanya ketika memberi keterangan di Mahkamah Koroner, semalam.
Azhari menjelaskan, sepanjang proses siasatan beliau memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, termasuk membawa pelajar-pelajar yang diperlukan untuk diambil keterangan. Beliau menolak tuduhan bahawa pihak sekolah cuba menutup kes.
“Kalau kami mahu melindungi pembuli Zara, saya tidak akan menceritakan apa yang berlaku pada malam 15 hari bulan Julai kepada pegawai polis. Sejak awal lagi saya maklumkan kepada polis, malah saya sendiri yang serahkan audio berkaitan untuk disiasat,” ujarnya.
Beliau turut mempertahankan Melur sebagai seorang pelajar yang baik dan setiap tahun menjadi peserta hafazan.
“Bagi saya, tuduhan terhadap Melur kejam, hanya kerana dia orang pertama yang jumpa Zara di sana, kalau tiada Melur macam mana Zara, mungkin Zara sudah kehilangan nyawa di sana. Tapi ini yang dia dapat,” katanya.
Azhari turut berkongsi peranannya sepanjang tempoh kejadian, termasuk menghubungi ambulans, menemani Zara ke hospital, memberi sokongan kepada keluarga mangsa, dan berada bersama hingga proses pengebumian.
“Daru 16 Julai smpai habis siasatan pihak polis berhubung dengan saya, daripada IPD Papar sampai Bukit Aman, polis berhubung dengan saya, jadi patutkah?
“Tiada apa yang kami selindung, semua kami bagitahu, siapa yang keluar, kak M, kak C, siapa lagi. semua kami bagi tahu, apa-apa sahaja, itu tanggungjawab saya. Saya tidak mahu zara ni teraniaya, tapi itu lah sekarang ini memang, sekolah teraniaya termasuk saya sendiri,” katanya.
Beliau kesal apabila dirinya dan keluarganya turut menjadi mangsa kecaman hanya kerana beliau adalah pengadu dan saksi penting dalam kes tersebut.
