Kota Kinabalu: Prosiding inkues kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, di Mahkamah Koroner hari ini mendedahkan bahawa isu berkaitan individu dikenali sebagai “Kak M” sudah berlaku sejak Mei lalu, namun tiada sebarang aduan dibuat oleh ibu Zara kepada pihak sekolah.
Ketua Warden Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Ustaz Azhari Abd Sagap, ketika menjawab soalan peguam Abdul Fikri yang mewakili empat pesalah kanak-kanak, menegaskan bahawa beliau sendiri yang menyerahkan maklumat berhubung audio mengenai “Kak M” kepada pihak polis.
“Kalau kami mahu melindungi pembuli Zara, saya tidak akan ceritakan apa yang berlaku pada malam 15 hari bulan Julai kepada polis. Saya juga maklumkan perkara itu pada 16 hari bulan Julai malam, sebelum ibu Zara membuat laporan polis kali kedua,” katanya di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Azhari menegaskan, tindakan beliau menyerahkan bukti audio kepada polis membuktikan pihak sekolah tidak menutup kes berkenaan. Katanya lagi, beliau turut menegaskan bahawa “Kak M” bukanlah Melur, seorang pelajar yang kini terpalit kecaman netizen.
Menurutnya, Melur adalah pelajar baik dan peserta hafazan tahunannya, namun dia tetap menjadi mangsa serangan siber hanya kerana orang pertama yang menemui Zara.
“Saya kena tegaskan disini, kak M tu bukan Melur. Kenapa dia yang dikecam, kenapa dia punya muka yang diviralkan. Melur ni budak baik. Setiap tahun, peserta hafazan saya.
Bagi saya, tuduhan terhadap Melur kejam, hanya kerana dia orang pertama yang jumpa Zara di sana, kalau tiada Melur macam mana Zara, mungkin Zara sudah kehilangan nyawa di sana, tapi ini yang dia dapat,” tegasnya.
Dalam keterangannya, Azhari dilihat sebak apabila menafikan tuduhan netizen yang mendakwa pihak sekolah berdiam diri dan cuba melindungi pembuli.
Beliau menceritakan usaha yang dilakukannya pada hari kejadian, termasuk menghubungi ambulans, mengiringi Zara ke hospital, menemani ibu mangsa hingga lewat malam, serta mengimamkan solat subuh pada hari Zara menghembuskan nafas terakhir.
“Saya tunggu sampai mesin dicabut, saya tunggu di forensik, saya ikut solat dan bantu Zara sampai ke perkuburan. Inikah yang patut saya terima?” ujarnya dalam nada tertekan.
Tambahnya lagi, sejak awal siasatan, beliau sentiasa memberi kerjasama penuh kepada pihak polis termasuk di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dan Bukit Aman.
Dalam keterangannya juga, Azhari menimbulkan persoalan mengapa isu “Kak M” yang berlaku sekitar Mei tidak pernah dibangkitkan oleh ibu Zara kepada pihak sekolah.
“Untuk makluman cerita kak M ini berlaku sekitar bulan lima, ini siasatan sekolah.
“Kenapa ibu Zara tidak laporkan kepada sekolah? Itu yang jadi persoalan saya, sebab saya ambil tahu, saya rasa terkesan dengan kehilangan Zara ini, jadi saya ambil tahu semua ini.
“Kenapa tiada aduan, kalau tiada aduan daripada Zara, tolong ada aduan daripada ibu Zara itu sendiri kepada pihak sekolah, tapi tidak ada. Saya sudah minta dalam group laman rasmi, kalau ada. Tapi, tidak ada, langsung tidak ada,” jelasnya.
