KENINGAU: Seorang kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang sedang menanti kelahiran cahaya mata pertama dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras di Kampung Nuntunan, Apin-Apin, malam kelmarin.
Mangsa, Masdeh Rosmin, 35, dilaporkan hilang kira-kira jam 9.50 malam ketika melakukan kerja penyelenggaraan bekalan elektrik di kawasan berkenaan. Difahamkan, beliau menetap di Kampung Bingkor, Keningau.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui, berkata operasi pencarian diperluas meliputi lima kilometer ke arah hilir sungai, selain turut melibatkan kawasan 1.5 kilometer ke hulu sungai hingga ke kawasan kuari di Kampung Kadalakan.
Usaha mencari mangsa kini giat dijalankan oleh pasukan penyelamat dengan bantuan pelbagai agensi.
