Kota Kinabalu: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas menahan tiga lelaki dan seorang wanita serta merampas dadah jenis ketamin seberat 20.7 kilogram dalam satu operasi khas baru-baru ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh Dikun berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat awam pada 4 September 2025 di sebuah premis perniagaan di Taman Sri Kepayan, Kota Kinabalu.
“Dalam serbuan tersebut, polis menemukan dua karung berwarna hijau berisi 20 bungkus plastik bertulisan Tie Guan Yin yang mengandungi dadah ketamin. Nilai rampasan dianggarkan lebih RM1.03 juta,” katanya.
Selain tangkapan pertama, siasatan lanjut membawa kepada penahanan suspek kedua pada 5 September 2025 di kawasan Kepayan, diikuti penahanan sepasang suami isteri di IPK Sabah malam yang sama.
Butiran Tangkapan adalah seperti berikut : (B1) Lelaki, 36 tahun, pengurus syarikat kurier, (B2) Lelaki, 58 tahun, kerani operasi syarikat kurier, (B3) Lelaki, 47 tahun, pemilik syarikat kurier, serta (B4) Wanita, 46 tahun, tidak bekerja (isteri B3).
Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini dipercayai menggunakan perkhidmatan kargo udara dari Semenanjung untuk menghantar bekalan dadah ke Sabah.
Selain dadah, polis turut menyita beberapa aset mewah dipercayai hasil aktiviti pengedaran dadah, antaranya: 5 buah kereta mewah termasuk Lamborghini Aventador, Mercedes Benz, Toyota Alphard dan Chevrolet Colorado, 2 unit televisyen 60 inci, 7 unit speaker, 10 beg tangan berjenama, komputer dan wang tunai.
Jumlah keseluruhan sitaan dan rampasan dianggarkan bernilai RM4.21 juta. Hanya seorang suspek didapati positif dadah jenis Meth/AMP manakala yang lain negatif.
Semakan rekod mendapati seorang suspek mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah.
Pesurujaya Polis Sabah menegaskan, PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
“Rampasan ini mampu menampung hampir 160,000 penagihan sekali guna. Kejayaan ini adalah hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam.
JSJN Kontinjen Sabah kekal komited memerangi dadah demi melindungi generasi kini dan akan datang,” ujarnya.
Orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah melalui Hotline JSJN di 012-2087222.
