CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini mengeluarkan kenyataan menegaskan pendirian tegas terhadap penyebaran kandungan tidak sahih berhubung kes kematian tragis Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, pelajar berusia 13 tahun dari Sabah.
Menurut MCMC, pihaknya memandang serius gesaan yang telah disuarakan oleh Ketua Polis Negara dan Jabatan Peguam Negara agar masyarakat menghentikan penyebaran gambar, video dan maklumat yang belum disahkan, khususnya melibatkan kanak-kanak.
“Tindakan tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja boleh mencederakan emosi keluarga mangsa, malah melanggar etika dan undang-undang negara,” tegas MCMC dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
MCMC turut mengulangi peringatan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil agar semua pihak memberi ruang kepada siasatan yang sedang berjalan dan tidak membuat spekulasi yang boleh mencetuskan kekeliruan serta menggugat ketenteraman awam.
Suruhanjaya itu turut menegaskan bahawa penyebaran maklumat palsu adalah satu kesalahan serius di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588]. Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan denda maksimum RM500,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
MCMC dalam kenyataannya menyeru orang ramai agar lebih beretika dalam penggunaan media sosial, terutama apabila melibatkan kes-kes sensitif seperti ini, dan sentiasa merujuk kepada saluran sahih bagi mendapatkan maklumat terkini dan tepat.
