KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah kini berada di landasan kukuh untuk menarik pelaburan dalam pasaran karbon susulan kelulusan Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon 2025, yang diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.
Menurut Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, enakmen tersebut bukan sahaja mewujudkan kerangka perundangan bagi aktiviti karbon yang lebih tersusun dan berkuat kuasa, malah mengesahkan hak milik kredit karbon sebagai milik Kerajaan Negeri Sabah.
“Landasan undang-undang ini memberi keyakinan kepada pelabur, namun potensi lebih besar terletak dalam kerjasama ASEAN bagi mewujudkan pasaran karbon serantau yang seragam dan berfungsi,” katanya dalam ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, semasa Sidang Kemuncak Perhutanan Mampan ASEAN 2025 di Shangri-La Tanjung Aru Resort pada Selasa.
Enakmen tersebut turut menubuhkan Majlis Tindakan Iklim Sabah, Tabung Iklim, Inventori Pelepasan Karbon Negeri, serta kerangka perkongsian manfaat, khusus kepada komuniti pribumi yang terlibat dalam pemeliharaan hutan dan alam sekitar.
Sabah, katanya, kini merupakan antara bidang kuasa dunia yang mencatat penyerapan karbon bersih dengan anggaran 36 peratus sumbangan kepada keseluruhan penyerapan karbon Malaysia, menjadikan keupayaan ekologi negeri ini sebagai aset ekonomi strategik.
“Ini bukan hanya penanda aras alam sekitar, tetapi juga kelebihan daya saing dalam ekonomi rendah karbon. Kita tidak boleh abaikan potensi ini,” tegas Hajiji.
Di bawah pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), sektor perhutanan dikenalpasti sebagai tunjang penting, dengan pelaksanaan Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan yang bertujuan memulihkan 400,000 hektar hutan terosot dalam tempoh 15 tahun.
Pelan itu dijangka memberi sumbangan lebih RM11 bilion kepada KDNK negeri serta mencipta 40,000 peluang pekerjaan hijau di sepanjang rantaian nilai industri.
Dalam pada itu, hasil royalti kayu juga mencatat peningkatan kepada RM171 juta pada tahun 2024, selain eksport kayu terus berkembang ke pasaran antarabangsa seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Taiwan.
Hajiji turut menyentuh potensi sektor minyak sawit, yang menyumbang lebih 25 peratus daripada pengeluaran nasional dan menjadi enjin baharu dalam transformasi industri biofuel dan biojisim melalui pembangunan Palm Oil Industrial Cluster (POIC) di Lahad Datu dan Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP).
“Sabah bukan sahaja menyumbang kepada kelestarian alam, tetapi juga sedang muncul sebagai hab utama ekonomi hijau dan pengeluar kredit karbon berdaya saing di rantau ini,” katanya.
Beliau menyeru semua pelabur dari ASEAN dan global untuk melihat Sabah sebagai destinasi strategik yang stabil dan komited terhadap masa depan hijau. “Laburlah di Sabah. Anda bukan hanya melabur dalam ekonomi, tetapi dalam kelangsungan planet ini,” katanya.
Sidang kemuncak itu dianjurkan bersama oleh Institut Strategik KSI Asia Pasifik dan Kelab Ekonomi ASEAN, menghimpunkan pembuat dasar, ahli industri dan pakar alam sekitar serantau dalam usaha memperkukuh kerjasama bagi kehutanan mampan dan ketahanan iklim di Asia Tenggara.
