PENAMPANG: Seorang wanita tempatan berusia 38 tahun maut, manakala anak lelakinya yang berusia setahun lima bulan cedera selepas mereka dipercayai menjadi mangsa kemalangan langgar lari ketika berjalan kaki di Jalan Kampung Kimbabangan, di sini, pada malam Ahad (27 Julai) lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton, kejadian tragis itu berlaku kira-kira jam 7.30 malam apabila mangsa sedang berjalan kaki bersama anaknya sebelum dilanggar oleh sebuah kenderaan yang identitinya masih belum dapat dikenal pasti.
“Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 3.15 pagi, 28 Julai di Wad Kecemasan, Hospital Queen Elizabeth I, manakala anak mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Kanak-Kanak Likas,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya lagi, kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis sedang giat mengesan pemandu kenderaan yang terlibat.
Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan kenderaan terlibat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik IPD Penampang atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133.
Polis turut menyeru agar individu yang terlibat dalam kemalangan tersebut tampil secara sukarela untuk membantu siasatan dan memberi keadilan kepada keluarga mangsa.
