KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah Zara Qairina dan menyeru masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tragis yang menimpa pelajar tersebut.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, beliau bersama Pengurusan Tertinggi Kementerian telah menziarahi keluarga Allahyarhamah di hospital semalam bagi menyampaikan sokongan moral dan memastikan segala keperluan keluarga disediakan dengan baik.
“Kementerian sangat prihatin terhadap insiden ini dan kami ingin memastikan kebajikan keluarga terpelihara. Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah juga telah menyalurkan bantuan segera termasuk dari segi sokongan psikososial kepada keluarga,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Zara Qairina, pelajar Tingkatan 1 di Sekolah Menengah Agama Tun Datu Mustapha, Limau-Limauan, Papar, dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah dalam kejadian yang mencetuskan kebimbangan ramai pihak, termasuk dakwaan ia berpunca daripada kejadian buli.
Fadhlina memaklumkan bahawa kes masih dalam siasatan pihak polis, dan KPM memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar.
“Saya menyeru semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan menghormati privasi keluarga mangsa yang sedang menghadapi ujian berat ini,” tambahnya.
Beliau memberi jaminan bahawa sebarang tindakan akan diambil berdasarkan hasil siasatan lengkap pihak berkuasa, dan kementerian komited dalam memastikan keselamatan murid sentiasa menjadi keutamaan di semua institusi pendidikan.
