SEMPORNA: Sembilan lelaki dewasa berjaya diselamatkan dalam kejadian bot bocor yang berlaku di perairan Pulau Sebangkat, dekat sini, hari ini.
Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 11.37 pagi apabila Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Semporna menerima maklumat berhubung sebuah bot jenis LLK yang mengalami kebocoran di laut.
Skuad BRAVO APM yang diketuai oleh PBT (PA) Asmam Turu bersama tiga anggota lain telah digerakkan ke lokasi menggunakan sebuah bot aluminium A008.
Pasukan itu tiba di lokasi kira-kira jam 12.38 tengah hari dan mendapati tiga mangsa masih berada di atas bot, manakala enam lagi berada di dalam air dan berpaut pada bot tersebut.
“Kesemua enam mangsa yang berada di dalam air berjaya diselamatkan dan dipindahkan ke bot penyelamat sebelum diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
“Tiada kecederaan dilaporkan ke atas semua mangsa,” menurut kenyataan itu.
Operasi melibatkan kekuatan petugas gabungan terdiri daripada 4 anggota APM, 5 anggota PDRM (termasuk seorang pegawai), dan 12 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Antara logistik yang digunakan termasuk satu bot aluminium APM, dua bot milik APMM dan satu bot PDRM.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.59 tengah hari dan semua petugas serta peralatan dilaporkan selamat kembali ke pangkalan.
Kejadian disahkan sebagai kes bot bocor dan tindakan pantas pasukan penyelamat berjaya mengelakkan sebarang kemalangan jiwa.
