LAHAD DATU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Lahad Datu kini sedang menjalankan siasatan terhadap tiga kes jenayah berasingan yang berlaku dalam tempoh 48 jam terakhir, melibatkan kes buang bayi, kegiatan pelacuran, dan perjudian atas talian.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail, berkata kesemua kejadian disiasat secara berasingan namun menunjukkan pola jenayah sosial yang membimbangkan di kawasan ini.
Pada 18 Julai lalu, jam 3.06 pagi, seorang bayi lelaki yang masih hidup ditemui ditinggalkan di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kg. Burung, Jalan Bakawali oleh individu tidak dikenali.
Bayi tersebut telah diselamatkan oleh penduduk dan dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut. Keadaannya kini dilaporkan stabil.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan, dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya,” kata ACP Dzulbaharin
Dalam satu operasi Op Noda yang dijalankan pada 17 Julai 2025 jam 10.30 malam, polis menahan seorang wanita tempatan berumur 21 tahun di sebuah hotel di Bandar Lahad Datu kerana disyaki menawarkan perkhidmatan seks melalui aplikasi MiChat.
Dalam kes berasingan pada 17 Julai 2025 jam 2.30 petang, seorang lelaki tempatan berumur 24 tahun ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah kerana disyaki menjalankan aktiviti perjudian atas talian menggunakan telefon pintar.
Rampasan melibatkan satu unit telefon pintar yang mengandungi aplikasi perjudian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang memperuntukkan hukuman denda RM10,000 hingga RM100,000 dan penjara tidak lebih lima tahun jika disabitkan kesalahan.
ACP Dzulbaharin menegaskan bahawa PDRM Lahad Datu tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah, khususnya jenayah sosial yang boleh merosakkan keharmonian komuniti setempat.
“Kami menyeru masyarakat agar terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis dan bersama-sama membanteras jenayah demi keselamatan bersama,” tambah beliau.
