KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan, menzahirkan rasa kecewa dan mengecam keras budaya buli di sekolah, sambil menggesa semua pihak termasuk institusi pendidikan agar tidak melindungi pelaku, walaupun mereka masih bergelar pelajar.
Merujuk insiden tragis melibatkan kematian seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu dari SMA Tun Datu Mustafa Limauan di Papar yang tular baru-baru ini, Fairuz menekankan bahawa tindakan segera dan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pelajar yang terlibat sebagai pembuli.
“Kalau ada pelajar yang dibuli, maka pasti ada pembuli di sekolah. Mereka ini perlu dikenakan tindakan yang serius dan diberi pengajaran tegas agar perkara ini tidak berulang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fairuz menyifatkan budaya menutup identiti pelaku buli sebagai satu kesilapan besar yang boleh menyumbang kepada pembentukan sifat penjenayah sejak usia muda.
“Hari ini dia buli rakan sekolah, esok bila dewasa dia bawa tabiat itu ke masyarakat. Ini bibit-bibit jenayah yang akhirnya merosakkan keharmonian sosial kita,” jelasnya.
Sebagai seorang bapa, beliau turut meluahkan kesedihan mendalam terhadap tragedi yang menimpa keluarga mangsa.
“Anak yang ditatang bagai minyak yang penuh, akhirnya meninggal dunia kerana insiden yang tak pernah kita jangka akan berlaku di sekolah tempat yang sepatutnya selamat.” ujarnya.
Dalam kenyataannya, Fairuz menyeru semua pihak yang mempunyai kuasa dan tanggungjawab, sama ada guru, pentadbir sekolah mahupun agensi berkaitan, agar bertindak proaktif membendung budaya buli yang semakin meresahkan.
“Kita tidak boleh berdiam diri. Hukuman setimpal perlu dikenakan kepada pelaku. Sudah tiba masanya kita hentikan budaya samseng dan buli di sekolah.” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap agar siasatan terhadap kes tersebut dijalankan secara telus dan menyeluruh.
