KOTA KINABALU, 8 Julai 2025 – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Datuk Rina Haji Jainal, menggesa kerajaan negeri supaya menubuhkan Pusat Pembangunan Mualaf Daerah bagi membela nasib saudara baharu yang masih tercicir dari segi bimbingan selepas memeluk Islam.
Menurut Rina, ramai mualaf di luar bandar dan pedalaman hanya menerima taklimat awal pasca-syahadah, namun selepas itu tidak lagi dibimbing secara sistematik dalam hal-hal akidah, kekeluargaan dan sosioekonomi.
“Ramai yang terkapai-kapai menghadapi cabaran hidup — termasuk soal perkahwinan, pekerjaan, tekanan keluarga asal, dan isu akidah. Sudah tiba masa kita tubuhkan pusat khusus di peringkat daerah untuk membimbing mereka,” katanya.
Beliau mencadangkan pusat itu dibangunkan dengan pendekatan membina sahsiah, akidah, dan latihan ekonomi asas, melalui kerjasama antara JHEAINS, NGO Islamik dan pihak berkuasa tempatan.
Katanya, pendekatan terhadap mualaf perlu lebih mesra komuniti dan tidak terlalu birokratik, agar mereka benar-benar merasai sokongan masyarakat Islam selepas memeluk agama tersebut.
Dalam perbahasan sama terhadap Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Rina turut menekankan keperluan pengurusan perumahan rakyat yang lebih strategik.
Beliau mencadangkan kajian geospatial menyeluruh dilaksanakan bagi mengenal pasti keperluan sebenar pembinaan rumah mampu milik di Sabah.
“Saya terima banyak rayuan rakyat memohon rumah PPR, tetapi tiada satu pun diluluskan. Ini jelas menunjukkan sistem penilaian sekarang masih belum menjiwai realiti masyarakat,” katanya.
Rina turut menggesa supaya peruntukan RM20 juta kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan digunakan untuk membangunkan sistem perancangan perumahan berasaskan data sebenar.
Beliau mencadangkan agar kuota khas rumah mampu milik diperuntukkan kepada ibu tunggal, penjawat awam gred rendah, serta anak muda berpendapatan bawah RM2,000 sebulan, agar kelompok ini tidak terus tercicir.
“Peruntukan itu mesti sampai ke kawasan PPR yang uzur, taman perumahan tanpa lampu jalan, rumah rakyat yang sudah lama menanti bantuan, bukan sekadar angka atas kertas,” tegasnya.
