LABUAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan rokok terbesar tahun ini dalam satu operasi khas di Kampung Batu Manikar, Labuan, Ahad lalu.
Dalam operasi yang dijalankan sekitar jam 9.30 pagi, PPM mengesan sebuah gudang yang dijadikan tempat penyimpanan rokok seludup dipercayai dari negara jiran.
Pemeriksaan lanjut ke atas premis dan beberapa kenderaan di lokasi tersebut membawa kepada rampasan sebanyak 5.32 juta batang rokok seludup, melibatkan anggaran nilai RM7,017,000.
Turut ditahan dalam operasi itu adalah lapan individu tempatan berusia antara 18 hingga 51 tahun bagi membantu siasatan. Beberapa buah kenderaan turut dirampas.
Menurut Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Mohd Nazri Ibrahim, rampasan ini merupakan yang terbesar dicatatkan oleh PPM Sabah setakat tahun 2025.
“Komitmen PPM Sabah dalam memerangi jenayah penyeludupan dan memelihara ketenteraman awam memberi kesan besar kepada keselamatan serta ekonomi negara,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa sepanjang tahun ini, PPM Wilayah 4 telah mencatatkan 139 kes tangkapan membabitkan nilai rampasan keseluruhan lebih RM52 juta.
Antara kes yang berjaya ditumpaskan termasuk penyeludupan rokok, minuman keras, penyelewengan minyak subsidi, minyak masak dan lain-lain di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
PPM juga memberi tumpuan terhadap jenayah rentas sempadan dan aktiviti penyeludupan di perairan negara, khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti Kudat, Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan diseru menyalurkannya kepada pihak berkuasa melalui Bilik Gerakan PPM Wilayah 4 atau menerusi media sosial rasmi Facebook PPM Wilayah 4 Sabah.
