TAMBUNAN: Seorang lelaki berusia 35 tahun cedera di bahagian kepala selepas kenderaan yang dipandunya terbabas ke dalam parit di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Martin, awal pagi tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 12.06 tengah malam.
Susulan itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan tiba di lokasi empat minit kemudian.
Komander Operasi, PBK I David Wong, melaporkan, bahawa kejadian melibatkan sebuah kereta jenis Proton Waja yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas sendiri ke dalam parit di tepi jalan.
“Mangsa didapati telah keluar sendiri dari kenderaan sebelum ketibaan pasukan bomba. Anggota EMRS memberi rawatan awal dan seterusnya membawa mangsa ke Hospital Tambunan untuk rawatan lanjut,” katanya, hari ini.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.25 tengah malam setelah keadaan di lokasi disahkan selamat dan tiada bahaya lain dikesan.
Seramai tujuh anggota terlibat dalam operasi tersebut menggunakan satu jentera FRT dan satu EMRS.
JBPM Sabah menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika memandu terutamanya pada waktu malam bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
