TAWAU: Seorang lelaki tempatan berdepan hukuman mati mandatori selepas ditahan polis bersama dadah jenis ganja seberat 204.91 gram bernilai RM4,500 dalam satu serbuan di hadapan Era Mini Market, Ranggu Batu 8, Tawau malam Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 31 tahun itu diberkas sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau sekitar jam 9.00 malam selepas pemerhatian selama 15 minit dilakukan terhadapnya yang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota merah.
“Ketika ditahan, polis bertanyakan kepada suspek sama ada dia menyimpan barang terlarang dan suspek secara sukarela menyerahkan satu plastik putih bertulis MR DIY yang mengandungi dadah,” katanya.
Pemeriksaan lanjut menemukan satu kotak berwarna putih berisi 24 paket plastik lutsinar yang berisi ketulan tumbuhan mampat disyaki ganja; tiga bekas plastik lutsinar; satu alat penimbang digital berwarna hitam; satu telefon bimbit model Vivo Y20; serta kunci kenderaan Toyota pacuan empat roda yang digunakan suspek.
Hasil ujian air kencing ke atas suspek turut menunjukkan positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC) yang merupakan komponen aktif dalam ganja.
Suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Pihak polis kini sedang mengesan rangkaian pengedaran dadah yang dipercayai terlibat dalam kes ini.
ACP Jasmin turut mengingatkan orang ramai bahawa aktiviti pengedaran, pemilikan atau penyalahgunaan dadah adalah satu kesalahan serius dan menggesa masyarakat agar menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa dalam usaha membanteras jenayah narkotik di daerah ini.
