TAWAU: Seorang lelaki warga asing berusia sekitar 37 tahun ditahan polis selepas disyaki menikam seorang buruh kasar dalam satu kejadian pergaduhan yang berlaku di kawasan pasar ikan, berhampiran sebuah pasar raya di sini, semalam.
Menurut kenyataan polis, Pusat Kawalan Daerah (DCC) Tawau menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 yang memaklumkan berlaku insiden pergaduhan melibatkan penggunaan senjata tajam sekitar lokasi terbabit.
Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tawau bergegas ke tempat kejadian dan berjaya menahan suspek bersama sebilah pisau panjang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dan mangsa merupakan buruh kasar yang bekerja di kawasan pasar. Mereka dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian berlaku,” kata jurucakap polis.
Difahamkan, pergaduhan tercetus apabila mangsa dikatakan mengejek suspek, sebelum suspek bertindak menikam mangsa di bahagian perut. Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Umum Tawau bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Suspek serta barang rampasan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah menggunakan senjata.
Pihak polis turut menasihati orang awam agar tidak menularkan video atau gambar kejadian yang boleh mengganggu siasatan serta mengelakkan spekulasi yang menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.
