KOTA KINABALU: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang berdepan pertuduhan rasuah berkaitan skandal lesen perlombongan mineral di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini tampil menegaskan bahawa mereka tidak bersalah dan yakin akan membersihkan nama masing-masing melalui proses perundangan yang telus.
ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, menyuarakan keyakinan bahawa beliau dan rakan sejawatnya, ADUN Tanjung Batu merangkap Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Muhammad Andi Suryady Bandy, adalah mangsa manipulasi media dan tetap komited untuk membela diri di mahkamah.
“Saya ingin menegaskan dan yakin kami tidak bersalah dalam kes rasuah ini. Kita telah banyak dimanipulasi dalam media, dan melalui proses ini kami akan bersihkan nama kami,” katanya kepada media.
Dr. Yusof menekankan bahawa prinsip asas sistem keadilan, iaitu seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya harus dihormati, sambil menegaskan tumpuannya tetap kepada khidmat rakyat.
“Kami yakin dengan sistem keadilan dan proses mahkamah negara ini. Kami tidak mahu ini mengganggu tugas kami sebagai wakil rakyat untuk terus berkhidmat kepada kawasan dan tanggungjawab lain,” tambah beliau.
Sementara itu, Andi Suryady turut menyatakan komitmennya untuk mengikuti semua prosedur mahkamah serta menjunjung tinggi prinsip kedaulatan undang-undang.
“Saya ingin tegaskan sekali lagi, saya tidak bersalah dan akan menurut semua prosedur di mahkamah ini. Saya yakin proses perundangan akan berjalan dengan telus dan baik,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sepanjang perbicaraan berlangsung, beliau tetap akan melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat seperti biasa.
“Saya akan terus menjalankan amanah dan tanggungjawab saya. Itu yang paling utama,” jelasnya.
Ketika ditanya mengenai kedudukannya sebagai pembantu menteri dalam kerajaan negeri, Andi enggan mengulas dan hanya menunggu sebarang arahan lanjut.
Kedua-dua ADUN tersebut kini berdepan pertuduhan berkaitan skandal perlombongan di Sabah yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Turut sama berdepan pertuduhan rasuah dengan bertindak sebagai pemberi rasuah dalam isu ini ialah seorang ahli perniagaan, Datuk Tei Jiann Cheing atau lebih dikenali sebagai Albert Tei.
Ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga di sini pagi tadi.
Mahkamah seterusnya menetapkan 5 Ogos 2025 ini bagi sebutan semula kes.
