RANAU: Seorang lelaki mengalami cedera parah selepas tercampak keluar dari kereta jenis Perodua Viva yang terbabas sendiri dalam satu kejadian kemalangan di hadapan JNT di sini, semalam.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Negeri Sabah, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau menerima panggilan kecemasan melalui talian balai pada jam 9.14 malam.
Jentera bomba tiba di lokasi kejadian hanya seminit kemudian, iaitu pada jam 9.15 malam.
Komander Operasi, PBK I Mastin Suli, memaklumkan bahawa kemalangan tersebut melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Viva yang dipercayai terbabas sendiri.
“Akibat kejadian itu, seorang mangsa tercampak keluar dari kenderaan manakala seorang lagi terperangkap di dalamnya.
“Seramai tujuh anggota BBP Ranau digerakkan ke lokasi dengan satu jentera jenis FRT. Pasukan bomba seterusnya bertindak pantas mengeluarkan mangsa yang terperangkap dan memberikan rawatan awal kepada kedua-dua mangsa sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir dengan tiga anggota.
“Mangsa yang tercampak mengalami kecederaan parah, manakala seorang lagi dilaporkan hanya cedera ringan. Maklumat lanjut mengenai identiti kedua-dua mangsa masih belum diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.48 malam setelah keadaan disahkan selamat dan terkawal.
JBPM Negeri Sabah dalam pada itu, menyeru orang awam agar sentiasa berhati-hati di jalan raya, terutamanya pada waktu malam atau ketika cuaca tidak menentu, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
