PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan yang membuat pusingan U di KM, Jalan Papar-Kota Kinabalu dekat berhampiran pusingan-U Taman Bersatu, Putatan, malam Selasa lalu.
Menurut kenyataan rasmi daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, maklumat awam mengenai kemalangan tersebut diterima pada 4 Jun 2025, kira-kira jam 11.15 malam.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah motokar dipandu seorang lelaki tempatan berumur 40 tahun yang datang dari arah Kota Kinabalu ke Petagas, Putatan, membuat pusingan-U menuju ke Taman Bersatu.
“Pada masa sama, sebuah motosikal dari arah Ketiau, Putatan menghala ke Kota Kinabalu telah melanggar motokar tersebut.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas sebelum mayat mangsa tdibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk proses bedah siasat,” jelas kenyataan itu di sini, semalam.
Pemandu motokar bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Erwansyah Abdul Basir dalam kenyataannya memaklumkan bahawa kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis kini sedang mengesan saksi-saksi kejadian dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan. Mereka yang menyaksikan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Saparia Ladoni di talian 019-8095133.
Dalam pada itu, pihak polis turut menasihati orang awam agar berhati-hati semasa memandu serta tidak menyebarkan sebarang imej atau video berkaitan kejadian di media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.
