Kota Kinabalu: Deretan kejayaan yang dicapai di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menjadi bukti nyata menangkis dakwaan tidak berasas pembangkang, khususnya berkaitan isu kemiskinan dan pembangunan rakyat Sabah.
Pakar dasar dari UiTM Sabah, Dr. Siti Yasmin Badrum menegaskan, hasil pentadbiran Hajiji yang cemerlang menjawab segala kritikan, terutama daripada Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, yang mendakwa Belanjawan Sabah 2025 gagal menangani isu asas rakyat.

“Realitinya, di bawah Hajiji, kadar kemiskinan berjaya dikurangkan secara ketara, ekonomi semakin kukuh dan ribuan peluang pekerjaan diwujudkan. Ini bukan retorik – ini fakta,” tegasnya.
Beliau berkata pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) terbukti berkesan dengan pelbagai inisiatif strategik, termasuk pembinaan Rumah Mesra SMJ, bantuan kewangan, serta penekanan kepada pendidikan dan keusahawanan.
Antara pencapaian besar pentadbiran Hajiji termasuk:
- Pelaburan mega seperti kilang tembaga SK Nexilis (RM2.3 bilion) dan kilang kaca solar Kibing (RM7.2 bilion) yang membuka ribuan peluang pekerjaan.
- Projek Ladang Kelapa Linaco di Paitan yang bakal menyediakan 4,000 pekerjaan.
- Lok Kawi Resort City yang dijangka menjana 5,000 pekerjaan dalam sektor pelancongan.
- Kerjasama dengan PERKESO yang sudah menghasilkan lebih 7,000 penempatan kerja.
Tambah Dr. Yasmin, sektor pembuatan, pertanian, pelancongan, pendidikan dan latihan teknikal (TVET) diberikan keutamaan bagi memastikan pembangunan holistik dan mampan.
“Prestasi ini cukup untuk membuktikan Hajiji bukan hanya pemimpin berwawasan, tetapi juga pelaksana dasar yang efektif. Beliau wajar terus diberi mandat demi kesinambungan kemajuan Sabah,” ujarnya.
Kejayaan-kejayaan ini sekaligus menolak naratif pembangkang yang disifatkan sebagai cubaan mempolitikkan isu rakyat tanpa melihat fakta di lapangan.
