KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai menempelak Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang didakwanya terus berlagak seolah-olah beliau adalah mangsa dan dikhianati, sedangkan hakikatnya ialah beliau sendiri pengkhianat kepada kerajaan negeri.
“Jangan lupa, Bung sendiri yang cuba menggulingkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor pada Januari 2023 dengan bersekongkol bersama Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM). Dia bercakap soal keikhlasan, sedangkan dialah simbol ketidaksabaran politik,” tegas Joniston dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Joniston menyifatkan kenyataan Bung yang mendakwa GRS mengkhianati Barisan Nasional (BN) sebagai putar belit murahan untuk menutup kegagalan dan cita-cita peribadinya yang tamak kuasa.
“Bung duduk dalam Kabinet Negeri, tetapi menikam dari dalam. Tak ada hormat langsung pada rakan-rakan dalam kerajaan. Itu fakta, bukan persepsi,” ujar beliau.
Beliau juga menegaskan GRS tidak pernah bergantung pada UMNO untuk bertahan, malah kini lebih bersedia untuk bergerak solo menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang.
“Kami tidak terdesak. Jangan perasan GRS perlukan Umno-BN, padahal sebenarnya, UMNO yang sedang tercungap-cungap cari nafas politik di Sabah,” sindir Joniston.
Menurutnya lagi, semasa krisis politik, ramai ADUN UMNO sendiri menolak untuk menyokong ‘Langkah Kinabalu’ Bung kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya.
“Kalau kawan-kawan dalam parti sendiri pun tolak, PH pun lebih pilih Hajiji, takkan Bung masih tak faham isyarat itu? Kepercayaan rakyat bukan pada dia,” tegas Joniston.
Joniston yang juga Ketua Penerangan PBS mengingatkan Bung bahawa penghinaan terhadap PBS suatu ketika dahulu masih belum dilupakan.
“Dulu Bung panggil PBS ‘melukut di tepi gantang’, sekarang datang minta kerjasama? Lupakan. Sabah tak akan jadi plan B politik kamu. Rakyat tahu menilai,” katanya lantang.
Tambah Joniston, GRS kini fokus kepada perkara yang lebih penting, iaitu kestabilan, perpaduan, dan perkhidmatan kepada rakyat, bukannya melayan politik picisan dan drama peribadi Bung Moktar.
