KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 25 tahun yang mencuri tiga paket Milo untuk anaknya dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini dengan bon berkelakuan baik selama setahun.
Majistret Dzul Elmy Yunus memerintahkan Sahrul Nizam Jamlan, seorang jurujual kereta terpakai, dikenakan bon berjumlah RM1,000 tanpa deposit, bersama seorang penjamin.
Sahrul mengaku bersalah mencuri tiga paket minuman malt coklat itu dari pasar raya Bataras Freshmart Hilltop, Luyang, pada 13 April lalu kira-kira jam 9.58 malam.
Mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, kesalahan itu boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah, memaklumkan bahawa Sahrul dikenal pasti melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bersama seorang lagi lelaki, ketika mereka memasukkan tiga paket Milo ke dalam beg sebelum keluar tanpa membayar.
Kehilangan lima paket Milo dari rak jualan disedari oleh kakitangan premis, dan Sahrul kemudiannya ditahan polis pada 27 Mei.
Rakan subahat Sahrul, Steve Danielleo Goerge, telah pun dijatuhi hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret selepas menjual salah satu paket Milo curi itu kepada sebuah restoran.
Peguam bela Sahrul, Lim Ming Zoong @ Lawrence, merayu hukuman ringan dengan alasan anak guamnya sudah berkahwin, mempunyai seorang anak kecil, dan mencuri semata-mata untuk memberi minuman itu kepada anaknya.
